Banyak yang kita tidak dapat lihat dengan mata kasar, mungkin dengan akal fikiran dan hati untuk menyaksikan keganasan, penindasan, ketidakadilan dan kesuraman sesetengah individu melalui media baru. Memang tidak dapat disangkal lagi media baru banyak memberi peluang kepada rakyat untuk menambah dan menimba ilmu pengetahuan secara tangkas dan jimat. Namun, kehadiran media baru ini sebenarnya merupakan suatu paradox, yang mana member impak negatif khususnya terhadap keharmonian sosial.
Secara sedar ataupun tidak, gelombang yang dihidangkan menerusi internet ini secara beransur-ansur sedang membentuk sikap, pandangan dan budaya baru dikalangan masyarakat. Jika dahulu, media massa melihat seorang wartawan mewakili keseluruhan pendapat masyarakat tetapi menerusi gelombang baru ini, setiap perbezaan dan ‘suara kecil’ masyarakat akan disuarakan terus-menerus tanpa wujud sebarang sempadan.
Fenomena politik negara dewasa ini memperlihatkan penggunaan blog dan e-mail telah berjaya mempengaruhi pandangan masyarakat. Ia bukan sahaja digunakan sebagai penyebar wadah dan pegangan seseorang individu, tetapi juga telah menjadi medium berkesan sebagai penghubung antara pemimpin atau ahli politik dan masyarakat sasaran. Mereka bebas menyatakan pendapat dan pegangan perjuangan mereka dengan cara lebih ‘bebas’ dan telus menerusi pendekatan mengikut pilihan dan kesesuaian perjuangan yang dikendong.
Ketika media massa menjadi ‘hak milik’ sekelompok kecil golongan elit politik, gelombang media massa baru ini menjadi medium paling berkesan bagi menyebarluaskan gagasan yang dimiliki. Internet menjadi media efektif bagi kelompok ini memandangkan sifatnya bebas dari segi ruang dan waktu tanpa diganggu dan dipengaruhi keadaan sekeliling. Namun, jika dilihat daripada sudut negatif pula, dalam kita sedar atau tidak sedar, internet telah menyebabkan perpecahan kaum di kalangan rakyat Malaysia. Sebagai contoh, penyokong barisan alternatif pasti akan “bercakap” mengenai kebaikan mereka dan mengutuk keburukan pihak pembangkang mereka, begitu juga sebaliknya. Akibatnya, mereka akan menggunakan media baru ini untuk “berbalah” sesama mereka. Jika fenomena ini dilihat atau disaksikan oleh masyarakat luar, bukankah ini amat memalukan kita dan akan menjatuhkan maruah negara? Tidakkah kita malu kerana membiarkan rakyat kita sendiri menyelak kemaluan mereka sehingga dilihat dunia? Ini jelas ditunjukkan melalui penggunaan blog yang boleh dibuktikan berdasarkan statistik penggunaan blog dan laman sosial yang begitu banyak oleh rakyat umum bagi meluahkan rasa tidak puas hati kepada pihak yang tidak sealiran dengan mereka melalui eracyberteknologi.blogspot. Dalam erti kata lain, blog dan laman social turut digunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab untuk mengutuk pihak kerajaan sedangkan pihak kerajaan lah yang selama ini banyak membantu mereka dalam apa jua keadaan. Ini jelas ditunjukkan menerusi www.ahmadtaba.com. Peratus ini menunjukkan kadar penggunaan Internet di Malaysia bertambah dengan kadar yang sangat pantas.
Sifatnya yang interaktif ini memungkinkan sesiapa sahaja yang memasuki dunia gelombang media baru ini memberikan pandangan dan pendapat mereka berhubung sesuatu isu yang diperbincangkan. Interaksi pro dan kontra, tambahan maklumat dan fakta-fakta baru kemudiannya terkandung membesar dan menyemarakkan lagi komuniti laman sesawang atau blog itu.
Benarlah seperti yang dikatakan Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt dalam tulisannya di akhbar tabloid Sun, dunia talian menambah kuasa orang kebanyakan dengan keupayaan untuk mencabar kerajaan, pihak media dan perniagaan. Ia juga mengurangkan jurang sedia ada antara masyarakat dan maklumat, membolehkan akses lebih terbuka untuk pengetahuan manusia. Pada dasarnya, kehadiran media baru sepatutnya merupakan sesuatu yang boleh dibanggakan, namun apabila media baru mula digunakan untuk mencabar tugas pihak kerajaan, ia benar-benar membangkitkan rasa marah dan geram yang teramat. Secara majoritinya, individu yang mengutuk kerajaan merupakan mereka yang menyokong barisan pembangkang. Tetapi sebenarnya, mereka yang tidak berkredibiliti ini sebenarnya menuntut di institusi kerajaan dan ada juga yang sedang berkhidmat dengan pihak kerajaan. Jika mereka tidak sehaluan dengan kerajaan, kenapa harus mereka “berada” di “dunia kerajaan”? Atau mungkin pihak kerajaan yang terlalu baik hati untuk menolong individu sedemikian? Adakah golongan ini boleh diibaratkan sebagai individu yang tergolong dalam mereka yang bersifat “Susu dibalas Tuba”?
Di dalam senario negara kini, gelombang media baru ini berperanan membawa suara-suara alternatif yang menyamai suara kebebasan dalam setiap ulasannya. Namun, setiap individu yang menjadi pengguna kepada media baru haruslah pandai menggunakan setiap kemudahan teknologi yang diberikan ke arah kebaikan dan menjurus kepada keharmonian. Selain itu, kita juga haruslah berfikir secara rasional dan berkredibiliti tinggi sebelum meluahkan sesuatu pendapat supaya tidak menyakiti hati mana-mana pihak yang mana boleh menjurus kepada “Perang Siber”. Sehubungan itu, semua pihak haruslah mengamalkan sifat toleransi dan bertolak ansur walaupun kita berlainan bangsa, agama, warna kulit, keturunan, di bawah satu payung Malaysia kita berteduh. Sokonglah 1Malaysia.